Tuesday 1 November 2011

Kerjaya Sebagai Arkitek Landskap

BAYANGKAN kerjaya yang memberi peluang terbuka dan meluas serta kebebasan untuk merancang, menilai, mereka bentuk ruang yang seiringan dengan pemeliharaan dan pemuliharaan alam semulajadi.


Kerjaya ini dilakukan di dataran-dataran bandar, di kawasan-kawasan awam, di sepanjang laluan jalan raya dan lebuh raya, badan air (waterfronts), taman bandar dan taman rekreasi, hutan, tasik, tanah lapang yang terbentang luas mahupun ruangan kecil di antara bangunan, di cerun bukit, gunung-ganang malah di persisiran pantai.

Bayangkan anda bekerja di pejabat, di tapak pembinaan projek, di tengah kesibukan bandar metropolitan mahu pun di tengah keheningan persekitaran desa. Lebih mencabar lagi, jurulandskap menghiasi permukaan air tasik, laut dan juga sungai, di kawasan perumahan, perniagaan, perdagangan mahu pun perkilangan dengan menggunakan gabungan kepakaran artistik, saintifik dan kemahiran teknikal.

Kemahiran ini boleh dipelajari untuk menghasilkan reka bentuk yang kreatif di dalam dunia masyarakat inovatif masa kini. 

Kerjaya anda adalah untuk mewujudkan persekitaran yang bertambah baik demi menjamin tahap kualiti kehidupan yang tinggi. Bayangkan menjadi seorang artis dalam masa yang sama menjadi seorang saintis.

Bayangkan anda sebagai seorang intelek alam yang menjaga kepentingan persekitaran setempat melalui kepakaran ilmiah dan latihan amali khusus yang telah dipelajari dan dipraktikkan dalam kehidupan kerjaya harian.

Bayangkanlah kerjaya arkitek landskap dalam bidang Seni Bina Landskap. Bidang seni bina lanskap merupakan bidang yang masih dikategorikan sebagai `bidang baru' di negara kita walaupun ia hampir mencapai umur 20 tahun pada bulan Ogos 2005 ini di Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Ungkapan landskap itu sendiri sering disamaertikan dengan pokok-pokok di taman mahupun tumbuh-tumbuhan yang terdapat di persekitaran kita. Namun, inilah masanya tanggapan masyarakat umum yang seakan sudah sebati dengan sinonim erti ungkapan lanskap dan taman, telah tidak lagi di salahtafsirkan dengan maksud yang sebenarnya.

Landskap dalam erti kata umum adalah pantulan daripada gabungan sistem semulajadi, dinamik dan sosial di dalam kehidupan harian.

Landskap adalah hasil interaksi di antara faktor abiotik (sifat fizikal seperti air, udara dan tanah), Biotik (sifat peribumi kehidupan seperti haiwan, serangga dan tumbuh-tumbuhan serta ekosistemnya) dan Budaya (seperti corak kehidupan manusia, komuniti, ekonomi mahupun sejarah) yang secara tidak langsung telah mewujudkan peradaban persekitaran setempat.

Ini bermakna, lanskap bukanlah pokok atau tumbuh-tumbuhan semata-mata yang sering menjadi sebutan atau tanggapan umum. Ia merupakan salah satu fungsi atau elemen yang diadaptasikan di dalam sesuatu reka bentuk ruang atau kawasan luaran bergantung kepada tujuan reka bentuk tersebut.

Seni bina landskap merupakan bidang kerjaya yang mempunyai pilihan yang meluas merangkumi pelbagai aspek yang menggabungkan unsur seni dan sains dalam mereka bentuk dan menghasilkan persekitaran yang lebih baik kepada masyarakat.

Seni bina landskap memberi keutamaan kepada reka bentuk yang kreatif, inovatif, sensitif dan efektif dengan perancangan dan pengurusan sesuatu ruang atau kawasan luaran mahupun dalaman agar ia berfaedah untuk generasi sekarang dan yang akan datang.

Seni bina landskap juga kadang kala dikenali sebagai kerjaya halimunan kerana mereka ini mereka bentuk kawasan atau ruang di antara bangunan yang wujud tanpa kita sedari, ruang yang kita lalui dan digunapakai pada setiap hari, ruang yang memberi keselesaan dan rangsangan ketenangan serta jaminan keselamatan kepada kita agar persekitaran setempat bertambah sihat ke arah pembentukan kehidupan yang berkualiti.

Individu yang dilatih di bidang ini di kenali sebagai arkitek landskap. Seorang arkitek lanskap itu dilatih secara khusus untuk menimba ilmu pengetahuan yang mendalam merangkumi gabungan integrasi unsur seni dan sains.

Tugas arkitek landskap ialah mengenal pasti permasalahan setempat yang wujud dengan menyelesaikannya melalui perancangan reka bentuk yang inovatif untuk sesuatu ruang itu atau kawasan tertentu yang sesuai dengan kehendak pengguna, alam sekitar dan kos dengan memenuhi syarat undang-undang serta akta perancangan kerajaan tempatan.

Arkitek landskap juga bertanggung jawab untuk menyelaras, mengawas dan menguruskan pelaksanaan sesuatu projek lanskap dari awal hingga ke akhir penyiapannya dengan konsep bekerja dalam satu kumpulan bersama kerjaya profesional lain seperti arkitek bangunan, jurutera , juruukur, pereka bentuk dalaman, perancang bandar, dan juga juruukur bahan di dalam sesuatu projek pembangunan yang dilaksanakan.

Tugas arkitek lanskap bermula apabila beliau diminta untuk menasihati atau menjadi pakar rujuk mengenai proses perancangan untuk meningkatkan mutu kehidupan manusia bagi membolehkan masyarakat setempat menikmati serta mengecapi keselesaan, keselamatan dan keindahan alam sekitar yang berkualiti.

SYARAT MENJADI ARKITEK LANDSKAP

Seseorang itu perlu lulus sekurang-kurangnya peringkat Sarjana Muda Seni Bina Landskap dari institusi pengajian tinggi tempatan atau luar negara yang diiktiraf.

Mereka juga perlu lulus peperiksaan yang dikendalikan oleh Institut Arkitek Landskap Malaysia (I.L.A. Malaysia) bagi mendapatkan pengiktirafan sebagai arkitek landskap bertauliah.

TAWARAN INSTITUSI PENGAJIAN

Sekiranya berminat untuk menceburi bidang ini sebagai kerjaya, kursus diploma, sarjana muda atau sarjana seni bina landskap boleh diikuti sama ada di institusi pengajian tinggi tempatan atau luar negara. IPT awam tempatan yang menawarkan kursus ini ialah Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) dan Universiti Sains Malaysia (USM). Kursus ini juga boleh diikuti di beberapa universiti luar negara seperti di Singapura, Australia, New Zealand, Jerman, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

SYARAT MELANJUTKAN PENGAJIAN DI UiTM

Program Diploma Seni Bina Landskap

Syarat kemasukan ialah pelajar perlu lulus SPM dengan sekurang-kurang memperoleh lima kredit termasuk subjek Matematik atau Matematik Tambahan, Sains atau Fizik atau Kimia atau Biologi atau Sains Tambahan.

Pelajar juga wajib lulus subjek Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Pelajar juga layak untuk memohon sekiranya mempunyai sijil kursus di dalam bidang agrikultur atau lanskap dari politeknik atau Institut Kemahiran MARA atau pra-diploma di bidang Sains dari UiTM dengan HPNG tidak kurang dari 2.75 atau yang diiktiraf sama dengannya.

Program Sarjana Muda Seni Bina Landskap

Syarat kemasukan ialah pelajar harus mempunyai Diploma Seni Bina Landskap dari UiTM dengan HPNG tidak kurang dari 2.50 bersama pengalaman bekerja di bidang berkaitan sekurang-kurangnya selama satu (1) tahun;

atau 

Diploma berkenaan bidang yang sama dari institusi yang berlainan yang diiktiraf dengan HPNG tidak kurang dari 2.50 bersama pengalaman bekerja di bidang berkaitan sekurang-kurangnya selama tiga (3) tahun;

atau 

Diploma dari bidang yang berkaitan dari UiTM atau institusi yang berlainan yang diiktiraf dengan HPNG tidak kurang dari 2.50 bersama pengalaman bekerja;

atau 

Matrikulasi/ STPM dengan keputusan prinsipal minimum di dalam dua (2) subjek sama ada Matematik, Fizik, Kimia, Biologi, Ekonomi, Sejarah, Geografi, atau Seni Lukis

PELUANG PEKERJAAN

Graduan berpeluang untuk meneruskan kerjaya sebagai arkitek landskap (kelulusan minimum ijazah sarjana muda) atau pun sebagai pembantu arkitek lanskap (kelulusan minimum diploma) atau sebagai pembantu teknikal kepada arkitek bangunan atau pun perancang bandar di pelbagai firma, jabatan, kementerian dan organisasi yang di antaranya seperti berikut;

Institusi Pengajian Tinggi, Jabatan landskap Negara, Jabatan Alam Sekitar, Kementerian Pendidikan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Institut Arkitek Lanskap Malaysia, Majlis-Majlis Daerah, Pihak Berkuasa Kerajaan Tempatan, firma-firma perunding lanskap, syarikat kontraktor lanskap, syarikat pemaju perumahan, firma perunding arkitek, firma perunding perancang bandar dan wilayah serta pelbagai syarikat atau firma lain yang berteraskan kepada projek pembangunan atau penyelenggaraan
"

Wednesday 21 September 2011

Kenali Sains Aktuari....

Apakah yang dimaksudkan dengan sains aktuari?

Seorang aktuari merupakan ahli perniagaan profesional yang berhubungkait dengan rekacipta insurans, pencen dan program-program kewangan yang lain. Melalui aplikasi kebarangkalian, statistik, teori risiko dan prinsip-prinsip kewangan, seorang aktuari dapat mengira risiko masa hadapan berkaitan dengan program insurans, anuiti dan pencen.

Untuk mencapai kesemua ini, seorang aktuari harus terdahulunya mengumpul dan menganalisa data untuk membentuk model matematik. Model-model kebarangkalian penyakit, kematian, kemalangan dan sebagainya serta jadual-jadual kebarangkalian pengangguran dan sebagainya dibina. Selepas kesemua kebarangkalian dan kos syarikat dikira, seorang aktuari mampu menetapkan harga premium yang akan memenuhi keperluan pembayaran manfaat insurans yang dijangkakan.

Seorang aktuari pernah dikenali sebagai arkitek kewangan dan ahli matematik kemasyarakatan disebabkan oleh kombinasi unik kemahiran analisis dan perniagaan mereka dalam menyelesaikan masalah kewangan dan sosial yang kian meningkat. Pengiraan dan perancangan seorang aktuari adalah tulang belakang industri insurans dan sekuriti kewangan. Kerja-kerja aktuari banyak melibatkan matematik, seorang aktuari juga mesti senantiasa mengikuti perkembangan isu-isu semasa dan tren perniagaan, sains kemasyarakatan , undang-undang dan ekonomi.





Siapa yang sesuai untuk menjadi aktuari?
  • Pelajar cemerlang yang sangat baik dalam matematik.
  • Seorang suka menyelidik dan senantiasa ingin tahu yang gemar mempelajari sesuatu dan suka menyelesaikan masalah rumit.
  • Seorang yang gemar permainan strategi seperti catur dan permainan komputer yang mencabar.
  • Seorang yang gemar menulis dan berkomunikasi dengan orang lain.
  • Minat dalam isu-isu sejarah, sosial, perundangan dan politik.
  • Seorang yang mempunyai motivasi diri dan mempunyai sifat kepimpinan
  • Kebolehan yang baik dalam matematik untuk membolehkan pentafsiran ,penganalisaan dan penyelesaian masalah dilakukan.
  • Pandangan praktikal
  • Minda yang sentiasa analitis
  • Boleh menghadapi masalah kewangan,pengurusan dan perhubungan manusia
  • Boleh bertutur dan menulis dengan baik untuk tujuan komunikasi
  • Pendidikan universiti dalam bidang matematik, statistic dan Sains aktuari.
  • Boleh membuat keputusan dengan baik,mempunyai imaginasi dan berfikiran logic
  • Kefahaman mendalam dalam ekonomi am,kecenderungan sosial ,perundangan dan kesihatan

Ini adalah sedikit sebanyak tentang sains aktuari di Malaysia. Subjek teras bagi sains aktuari ini ialah economics, calculus, statistic dan accounting. 

Pelajar-pelajar  yang mengambil aliran sastera di sekolah juga boleh mengambil kursus ini, cuma perlu mendapat A dalam matematik dan matematik tambahan. Juga bagi sesiapa yang mahu ke luar negara, pastikan Bahasa Inggeris dan Sejarah jangan diabaikan. Untuk mendapat tajaan ke luar negara, pada kebiasaannya penaja menetapkan sekurang-kurangnya 8A atau 8 1A. Jadi bagi yang sudah berhajat untuk ke luar negara, mulakan langkah dari sekarang. Plan your life!
Sumber dari :

[1] http://pkukmweb.ukm.my/~PSA/KENALAKTUARI.htm
[2] http://www.kmph.matrik.edu.my/kaunseling_&_kerjaya/k_actuari.html


Sunday 18 September 2011

Kerjaya Dalam Bidang Pergigian



Pergigian adalah satu cabang perubatan yang kini semakin diminati. Ia sangat laris kini. Namun semasa zaman 90-an, kerjaya ini agak baru dan masih tidak diketahui umum. Ramai anak muda kita, yang mendapat keputusan cemerlang memilih untuk mengikuti program perubatan di dalam mahupun di luar negara. Di dalam bidang pergigian, kita hanya tahu doktor gigi sahaja, tetapi staf sokongan juga janganlah dilupakan. Saya akan menerangkan serba sedikit mengenai peluang kerjaya pergigian yang ada dan diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan..
Ø Pegawai Pergigian
Mereka bertanggungjawab dalam memberi perkhidmatan kepada masyarakat. Seorang Pegawai Pergigian akan melakukan pemeriksaan dan diagnosa. Mereka juga akan melakukan rawatan seperti tampalan, cabutan, dan gigi palsu. Untuk menjadi Pergawai Pergigian, anda perlu mempunyai ijazah di dalam pergigian daripada mana-mana universiti yang diiktiraf sama ada di dalam atau di luar negeri. Pengamal pergigian perlulah mendaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia. Semenjak 29 Jun 2001, setiap pegawai baru perlu berkhidmat dengan kerajaan selama 3 tahun. Umunya tangga gaji permulaan adalah bermula dari P1T5. Mereka boleh berkhidmat sama ada di Kementerian Kesihatan, Kementerian Pertahanan, Jabatan Orang Asli, dan swasta.
Ø Jururawat Pergigian
Jika anda seorang yang penyabar dan penyayang serta mampu berkomunikasi dengan baik dengan kanak-kanak, kerjaya ini adalah sangat sesuai. Tugas mereka adalah memberi rawatan kepada kanak-kanak berusia 17 tahun ke bawah. Mereka juga akan terlibat dalam promosi pendidikan kesihatan pergigian yang dibuat dalam bentuk ceramah, “play”, pameran dan kempen. Sekarang, latihan untuk menjadi jururawat pergigian hanya terdapat Kolej Pergigian Latihan Kanak-Kanak di Pulau Pinang. Setelah tamat latihan pelajar akan diberi Diploma Kejururawatan Pergigian.
Ø Juruteknologi Pergigian
Jika anda seorang yang gemarkan kerja tangan dan kejuruteraan, anda sesuai memilih bidang ini. Seorang Juruteknologi Pergigian, mereka akan membuat prostesis (gigi palsu, korona), aplian ortodontik, an aplian pembedahan mulut. Selain daripada itu, mereka juga terlibat di dalam pembaikan peralatan pergigian dan pembangunan klinik.
Ø Pembantu Pembedahan Pergigian
Pembantu pembedahan pergigian bertanggungjawab dalam membantu pegawai pergigian dan jururawat dalam pengurusan pesakit. Mereka juga bertanggungjawab di dalam “infleksi kontrol” di bilik rawatan. Selain itu, mereka juga boleh menerima resit bayaran daripada pesakit serta mengemaskini rekod atau kad rawatan pesakit.
 



Saturday 17 September 2011

Selamat Datang!!!!

Entri kali Pertama :

Blog khusus untuk semua yang ingin mendapatkan maklumat berkaitan dengan dunia kerjaya di sekeliling anda...!!!!!

Jumpa lagi....!!!!!